Wednesday, October 13, 2010

Pengumuman buat Si Pencinta Ilmu

Pendosa mencari ulama' demi menyucikan diri (Kisah pembunuh 100 jiwa)
Pejuang mencari ulama' demi membakar semangat jihad di dalam diri (Kisah Salahuddin al-Ayyubi)
Inilah warisan Nabi untuk umat ini.
  


Di atas tu petikan daripada status FB sendiri (13 Oktober 2010), berkaitan dengan post kali ini. Lama sangat dah tak update blog, sibuk update status kat Facebook je. Mujur masih ada "peminat setia" blog ni yang masih tidak ber-Facebook, hikmahnya? blog ni terupdate juga akhirnya...

Sekadar penghebahan majlis bersama ulama' yang bakal diadakan di Malaysia dalam beberapa hari lagi. Marilah kita mengambil peluang ini untuk berkumpul bersama golongan yang dikasihi Allah (para ulama'). Sesungguhnya manusia itu akan dibangkitkan bersama siapa yang mereka kasihi semasa di dunia ini. Semoga kelak kita dibangkitkan bersama para Nabi, para Sahabat serta para kekasih-Nya, Allahumma Amin~

  
Jadual terperinci: almukminun.blogspot.com

Friday, August 27, 2010

Subhanallah! Cantiknya...

Malam 15 Ramadhan 1431 Hijri, ketika perjalanan pulang setelah selesai mengerjakan solat tarawih:

“Kau tengok bulan purnama tu, cantik kan?” soal Azzam kepada temannya, Fadhil.
“Erm…” jawabnya acuh tak acuh.
“Erm… je? At least tunjuk la respon excited sikit ke apa ke, ni setakat ‘erm’ je?” tegur Azzam tidak puas hati.
“Iyelah-iyelah, cantiiiik sangat… Subhanallah!” gurau Fadhil dengan lagak seorang ustaz.
“Haa… macam tu lah. Bukan susah sangat pun.”
 “Memang lah tak susah, cuma aku rasa dah sedia maklum ciptaan Allah tu memang cantik. Lagipun kan setiap kali malam 15 haribulan bulan Islam, memang time tu bulan mengambang penuh. Sebab tu aku tak kisah sangat, dah biasa tengok dah.”
Azzam hanya tersenyum mendengar penjelasan temannya itu.

Cerita di atas tiada kaitan dengan yang sedang hidup atau yang “masih” meninggal dunia (Kelak setiap manusia akan dihidupkan semula, betul tak?).

Gambar ihsan: DigitalMukmin (Ust. Azhar)


Cantik itu subjektif

Setiap manusia pasti punya persepsi berbeza dalam menilai kecantikan kerana sifatnya yang subjektif. Bak kata orang putih, 'beauty lies in the beholder’s eye' - Kecantikan itu terletak pada mata yang melihat. Senang faham, orang menilai kecantikan itu dari sudut yang berbeza. Kadang-kadang kita tengok cantik, tapi bagi orang tidak. Begitulah sebaliknya. Namun ada sesetengah perkara yang disepakati kecantikannya oleh setiap mata yang melihat. Contoh termudah adalah kisah Nabi Yusuf alaihis salam, seorang Nabi yang Allah zahirkan padanya kecantikan dan keindahan sebagai mukjizat. Hinggakan para wanita terhiris jari-jemari mereka lantaran terpesona melihat kecantikan dan keindahan rupa paras Nabi Yusuf alaihis salam. (Rujuk surah Yusuf, ayat 31)


Cantik bukan hanya pada luaran
 
Pernahkah berlaku apabila kita melihat seseorang yang amat cantik, lalu hati kita berdetik, “Kalaulah diriku secantik dia..." 
Walaupun perkataan tersebut nampak remeh, namun jika kita renungkan sedalam-dalamnya, ia mampu membawa kepada kekufuran terhadap nikmat Allah tanpa kita sedari. Seharusnya manusia itu hendaklah sentiasa bersyukur dengan apa jua yang telah dikurniakan kepadanya. Pengetahuan manusia di sebalik hikmah setiap kejadian amatlah sedikit. Kadang kala apa yang kita lihat sebagai nikmat bagi orang lain, boleh jadi musibah bagi kita. Disebabkan itulah dalam setiap gerak perbuatan kita diajarkan doa oleh Nabi Muhammad Shollallahu alaihi wasallam supaya kita sentiasa beringat akan nikmat-Nya. Seperti doa ketika melihat cermin:

اللَّهُمَّ كَمَا أَحْسَنْتَ خَلْقِي فَأَحْسِنْ خُلُقِي

Allahumma kamaa ahsanta kholqi fa ahsin khuluqi
Ya Allah, sebagaimana Engkau telah perindahkan kejadianku maka perelokkanlah jua akhlakku

Melalui doa tersebut jelas menunjukkan pentingnya kecantikan itu dinilai bukan hanya dari segi luaran semata-mata akan tetapi melalui akhlak dan tingkah laku yang baik.


Kecantikan isteri di mata suami

Boleh dikatakan setiap orang ingin agar kelihatan cantik. Lihat saja di kaca televisyen, pelbagai produk kecantikan dipromosikan secara berleluasa di mana sasaran utamanya adalah kaum wanita. Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan suka pada keindahan. Jadi secara lumrah, manusia itu diciptakan Allah cenderung untuk menyukai sesuatu yang dilihat cantik pada pandangan mata. Perkara ini tidaklah bersalahan selagi mana kecantikan itu diletakkan pada tempatnya. Dan sebaik-baik tempat letak kecantikan bagi seorang wanita itu adalah pada mata suaminya. Namun apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini, wanita memperhias dirinya hanyalah ketika berada di khayalak ramai dan tidak di hadapan suaminya. Manakala kesilapan para suami pula adalah membiarkan isteri menjadi tatapan awam. Malah ada pula yang berasa bangga bila lelaki lain memuji kecantikan isterinya. Islam telah pun membataskan penampilan wanita mengikut piawai pemakaian yang telah ditetapkan oleh syarak. Ia tidaklah sekali-kali bertujuan untuk mengongkong, akan tetapi demi memelihara maruah dan kehormatan mereka sebagai wanita.


Lebih cantik daripada bulan purnama!

Apabila bercerita mengenai kecantikan makhluk yang paling istimewa yang diciptakan oleh Allah pula, iaitu kekasih-Nya Nabi Muhammad Shollallahu alaihi wasallam, para sahabat telah membandingkan kecantikan dan keindahan Baginda dengan bulan purnama. Sebagaimana yang  tercatat oleh di dalam kitab Shamail Muhammadiyyah, hadith susunan Imam at Tirmidhi:

Daripada Jabin ibn Samurah radhiallahu anhu berkata:

    “Aku melihat Rasulullah shollallahu alaihi wasallam pada suatu malam yang terdapat bulan purnama. Waktu itu Baginda memakai pakaian merah. Aku berganti-ganti memandang antara Baginda dengan bulan tersebut, ternyata Baginda lebih indah daripada bulan tersebut.

Daripada Abu Ishaq radhiallahu anhu berkata: Seorang lelaki bertanya kepada al Bara’ ibn ‘Azib radhiallahu anhu:

    “Apakah wajah Rasulullah bagaikan pedang? Al Bara’ menjawab, “Tidak, bahkan wajah Baginda bagaikan rembulan.

Gambar ihsan: islamic-information

p/s: Tiba-tiba terasa nak menulis panjang sikit kali ni. Banyak ilham datang time Ramadhan agaknya. Semoga ada manfaat yang dapat dikongsi bersama~ ツ