Di dalam kesibukan bercampur-baur dengan kemalasan, ter'update’ juga blog ni akhirnya. Aku gagahkan diri untuk menulis sesuatu sempena hari istimewa bagi memperingati kelahiran seorang insan yang amat bermakna dalam hidupku.
Sebenarnya bukan menjadi satu tradisi dalam keluarga kami menyambut 'birthday' seumpama yang disambut sesetengah keluarga lain, lengkap dengan lilin, kek, hadiah dan berbagai lagi. Kalau ada pun sekali-sekala mak akan masakkan ‘kek biasa yang sedap’ waktu kami adik-beradik ada di rumah. Sebenarnya aku sendiri pun tak begitu mengambil berat perkara seperti ini. Hatta bila tiba tarikh lahir sendiri pun tak berapa nak ambil peduli. Biaq pi la orang nak ingat ke tak. Cuma bila mana ada kawan-kawan yang teringat, ucapkan selamat, beri hadiah, tetap aku hargai - semoga Allah membalas kebaikan kalian.
Sebenarnya bagi diriku yang lebih utama bukan sekadar ‘wish’ semata-mata, tetapi nilai perhubungan itu sendiri, tak kisahlah hubungan suami isteri, kekeluargaan mahupun persahabatan. Sejauh mana kita menghargai sesuatu perhubungan bukan diukur dengan mengingati tarikh-tarikh tertentu sahaja.
Namun tidak dinafikan kebaikan kita mengingati tarikh lahir seseorang dan mengucapkan selamat sebagai tanda ingatan kita kepadanya. Bahkan dalam Islam sendiri menganjurkan kita supaya menggembirakan hati dan perasaan saudara kita yang lain. Jadi hendaklah diniatkan segala perbuatan kita itu atas dasar dan tujuan kebaikan, moga ianya diterima dan diganjari Allah meskipun sekecil-kecil perkara.
Jadi dengan niat tersebut, tulisan berikutnya dikhususkan buat seorang insan yang paling bermakna dalam hidupku.
AMARAN: Sila teruskan membaca sekiranya anda seorang yang memang suka ambil tahu akan hal ehwal tuan punya blog. :P
Hari ini tanggal 16 haribulan Mac, tarikh lahir Mak dalam kalendar ‘orang putih’. Tapi kalau ikut kalendar Islam, sebenarnya tarikh lahir Mak 17 Rejab. Takpe la, ingat dua-dua boleh sambut dua kali kan? Disebabkan Mak dah pandai bukak blog, Thaqif tulis ni ‘special’ untuk Mak~
Bagi Thaqif, Mak adalah orang paling istimewa dalam hidup Thaqif. Sedih bila teringatkan cerita Mak yang sejak kecil sudah kehilangan ibu dan membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Alhamdulillah, alangkah beruntungnya Thaqif masih punyai seorang ibu dan dipelihara sejak kecil hingga kini layak digelar sebagai seorang insan. Gerunnya rasa hati bila menghayati sabda Rasulullah:
“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.”
Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)
Jadi sempena hari lahir Mak ni, Thaqif nak ambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan perbuatan dan keterlanjuran kata-kata yang menyakitkan hati Mak sama ada sedar mahupun tidak. Maafkan Thaqif sekiranya tidak mampu menjadi seorang anak yang taat seperti yang diharapkan. Thaqif akan sentiasa doakan kesejahteraan Mak dan Ayah seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran:
وَاخفِض لَهُما جَناحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحمَةِ وَقُل رَبِّ ارحَمهُما كَما رَبَّيانى صَغيرًا
“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." (Al-Isra': 24)
Mak bersama cucu kesayangan, Damia Iqlima
Sekian,
Anakmu di perantauan (buat sementara, insya-Allah) (^.^)
Thaqif Ilman,
Adelaide, Australia.