Setelah agak lama blog ni terbiar, akhirnya aku memaksa diri untuk menulis sesuatu. Ada kelainan sikit dalam ‘post’ kali ni. Lebih banyak cerita mengenai diri sendiri untuk dikongsi bersama keluarga dan sahabat.
Masuk hari ini sudah genap seminggu aku meninggalkan tanah air. Tak pernah terlintas dalam benak fikiranku sebelum ini untuk belajar di negara orang, hatta sejak tadika hingga ke universiti, belajar di luar negeri Selangor pun belum pernah. Tetapi yakinlah, rezeki Allah itu diberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Menerusi program pertukaran pelajar aku diberi peluang menimba pengalaman kehidupan belajar di perantauan walaupun sekadar tempoh lima bulan. Pada mulanya agak berbelah bahagi juga perasaan hendak meninggalkan tanah air memandangkan banyak peristiwa yang menimpa keluarga dalam tempoh 2 bulan kebelakangan ini. Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan oleh-Nya.
Tanggal 9 haribulan Februari, jam 1:20 pagi, aku bersama dua orang teman berangkat menuju ke Adelaide, Australia. Kami berlepas dengan pesawat Airbus A330-300 yang dikendalikan Air Asia. Agak berbaloi kerana harga yang ditawarkan Air Asia lebih murah dua kali ganda berbanding MAS. Akan tetapi bak frasa Inggeris, "You get what you pay for." Memang diakui penerbangan kendalian Air Asia agak kurang selesa berbanding MAS. Perjalanan agak meletihkan, lebih-lebih lagi penerbangan jarak jauh yang memakan masa 7 jam 50 minit. Pengalaman pertama bagi diriku melaksanakan solat Subuh di atas udara. Tetapi aku berasa agak kesal kerana aku hanya mampu solat di atas kerusi kapal terbang, walaupun masih ada sedikit ruang untuk sujud berdekatan dengan tandas.
Mentari pagi terbit di ufuk timur
Cukup nasi lemak sebagai pengalas perut sepanjang perjalanan
Permukaan benua Australia mulai kelihatan
Kami tiba di Melbourne jam 12:20 tengah hari (waktu tempatan). Air Asia tidak menyediakan 'direct flight' ke Adelaide. Disebabkan itu kami terpaksa 'transit' di lapangan terbang Melbourne selama hampir 7 jam sebelum menunggu penerbangan tempatan ke Adelaide. Memang itu sebahagian daripada perancangan kerana tidak mahu tergesa-gesa mengejar penerbangan seterusnya, khuatir kalau-kalau penerbangan ditunda. Aku agak terkejut bercampur rasa syukur bila mana terlihat papan tanda "Prayer Room" ketika berlegar-legar di ruang airport. Pada mulanya dalam fikiranku sukar untuk mencari tempat khusus untuk solat di Australia. Rupa-rupanya sesetengah tempat di sini ada menyediakan "Prayer Room" iaitu fasiliti yang disediakan secara umum untuk semua penganut agama bagi melaksanakan ibadah mereka. Tidak hairanlah bila melihat Quran dan Bible disusun dalam rak yang sama. Di situlah tempat kami bersolat jama' Zohor dan Asar seterusnya melepaskan lelah perjalanan. Dalam tempoh 7 jam menunggu, sempat juga bersiar-siar sekitar kawasan lapangan terbang bagi menghilangkan kebosanan.
Gambar-gambar sekitar lapangan terbang Melbourne
Perjalanan dari Melbourne ke Adelaide tidak mengambil masa yang lama. Tepat jam 9:30 malam, kami pun tiba di destinasi yang dituju. Setibanya di sana, kami dijemput oleh beberapa orang saudara seagama sebangsa, pelajar Malaysia yang sudah beberapa tahun menetap di Adelaide. Kami tumpang berteduh di kediaman mereka sementara mencari rumah untuk disewa. Semoga Allah membalas kebaikan dan jasa mereka. Antara perkara yang aku sedari, ketika berada dalam negara di mana orang Islam merupakan minoriti kita akan lebih menghargai dan memahami erti persaudaraan sesama Muslim berbanding negara yang majoritinya adalah orang Islam... (Bersambung)