Tersenyum sendiri bila melihat gambar "Ketika Kambing Disembelih" yang diperoleh daripada seorang kenalan di Indonesia melalui laman Facebook. Nampak tenang je riak wajah kambing tu walaupun tau dirinya nak disembelih sempena Qurban nanti. Bagi siapa² yang tak perasan @ tak tau, gambar tersebut di'photoshop'kan daripada poster Ketika Cinta Bertasbih, filem adaptasi daripada novel Habiburrahman el Shirazy. Betul² kreatif orang yang edit ni. Sebenarnya bukan nak cerita panjang pasal gambar ni, akan tetapi maksud yang tersirat di sebalik gambar kambing yang tersenyum tu :).
Adapun bilamana umat Islam menyambut Hari Raya `Eidul Adha atau Hari Raya Qurban, binatang ternakan seperti lembu, kambing, biri² mahupun kibasy adalah amat sinonim dengan hari mulia tersebut. Daripada sekian banyak sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, antaranya adalah melakukan qurban iaitu menyembelih binatang ternak berupa unta, lembu atau kambing dengan syarat dan waktu yang tertentu. Bahkan hukum melakukan qurban ini adalah sunnah muakkadah bererti sunnah yang sangat ditekankan dan dianjurkan bagi setiap individu.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shohihnya daripada Anas bin Malik, beliau berkata :
“ Rasulullah saw berudhiyah (berqurban) dengan dua kambing putih dan bertanduk, Baginda menyembelih dengan tangan Baginda sendiri yang mulia, Baginda mengawali (penyembelihan itu) dengan basmalah kemudian bertakbir …”
Meskipun demikian, terdapat segelintir mereka yang tidak memahami hikmah di sebalik ibadah qurban ini yang menyifatkan perbuatan ini sebagai "kekejaman" terhadap binatang. Hakikatnya, Islam mensyariatkan sembelihan bag ibadah qurban kerana ia terbukti merupakan kaedah yang paling berperikemanusiaan dan kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar (Kajian saintifik oleh pakar veterinari dari Jerman). Tetapi dengan syarat, adab-adab sembelihan menurut syarak hendaklah dipatuhi, antaranya:-
1) Mesti menggunakan alat yang tajam untuk memudahkan sembelihan dan tidak menyakitkan haiwan yang disembelih.
2) Sembelihan berlaku pada leher binatang dan memutuskan urat halqum dan juga urat marih untuk memudahkan binatang mati sejurus disembelih.
3) Dengan menyebut nama Allah yang telah mencipta haiwan tersebut bagi manfaat manusia.
Selain itu, ada juga tambahan adab iaitu haiwan yang akan disembelih tidak melihat secara "live" kawannya yang sedang disembelih. Ini bagi mengelakkan haiwan tersebut merasa terlalu takut atau kecut perut sebelum menunggu gilirannya untuk disembelih.
Subhanallah, alangkah indahnya Islam sekiranya dihayati, hatta perasaan seekor haiwan pun diambil kira. Jadi, tidak hairanlah kalau kambing putih yang bakal disembelih pun masih mampu tersenyum :)
الله اكبر ولله الحمد
كل عام وأنتم بخير
بمناسبة عيد الأضحى 1430 ه
No comments:
Post a Comment